KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Ketika kebanyakan anak yang sebaya ceria menghayun langkah ke sekolah, dia pula hanya menghabiskan usia mudanya menerjah debu di lorong belakang yang menyimpan seribu macam kerenah pahit-getir kehidupan.
Gedung ilmu baginya hanya lorong belakang dan medan letak kereta sementara lingkungan kawan-kawannya pula terdiri daripada anak-anak jalanan atau penagih dadah dan bapa ayam.Kurang perhatian ibu bapa yang sibuk dengan kerja menjadikan Hisyam (bukan nama sebenar) anak jalanan, terbiar dan tercicir daripada persekolahan. Dalam usia hanya 13 tahun, dia juga sudah terjebak dengan ketagihan menghidu gam.
'Anak jalanan' ini yang mencari wang dengan menjadi atendan letak kereta ditemui sukarelawan Arfidah Ab Latif, ketika membuat kerja mendekati masyarakat di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini baru-baru ini.
Beliau turut meninjau pondok papan yang serba-serbi usang dengan dinding yang sudah dimakan anai-anai menjadi tempat anak jalanan ini melepaskan lelah bersama rakan-rakan senasib dengannya.
Di kawasan yang sama, Arfidah bertemu seorang remaja perempuan berusia kira-kira 16 tahun yang berpakaian seksi. Meskipun jarum jam melepasi pukul 1 pagi, remaja ini masih berkeliaran bersama teman lelakinya dan beberapa remaja lelaki yang lain. Beliau juga mendapat tahu remaja itu juga pernah tidak pulang ke rumah dan bermalam di rumah kawannya.
Remaja perempuan ini juga, menurut Arfidah ketagih menghidu gam.
Sebagai sukarelawan yang sudah masak dengan kerenah anak-anak jalanan ini, hatinya bagai ditusuk sembilu melihatkan anak-anak jalanan ini dengan kehidupan yang terumbang-ambing dan bergelumang dengan cara kehidupan yang songsang.
Acap kali juga dia mengesat air matanya yang berjurai mengenangkan nasib anak-anak jalanan ini, seketika terkenang tiga orang anaknya yang disifatkan lebih bernasib baik kerana dijaga keluarganya di kampung.
BAGAI CENDAWAN
Bagi Arfidah, isu anak jalanan ini yang berkeliaran di sekitar Jalan Bukit Bintang, Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, bagaikan 'cendawan, yang dipetik selepas kembang dan kemudian tumbuh balik.'
Lazimnya cendawan apabila sudah kembang, orang akan petik untuk dimakan atau dijual. Lepas dipetik, cendawan itu akan tumbuh lagi. Macamlah juga anak-anak jalanan ini, kita pantau mereka dan kemudian demi masa depan mereka, kita ambil dari tepi jalan, beri terapi dan serahkan ke pusat-pusat penjagaan.
"Kami ingat bila sudah ditolong, bilangan anak-anak jalanan ini akan berkurangan tapi keadaan sebaliknya berlaku. Bilangan mereka terus bertambah. Saya percaya anak-anak itu datang dari luar kawasan sini," jelas Arfidah kepada Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.
Anak-anak jalanan itu, katanya, mengisi masa dengan menyelongkar 'harta karun' (apa sahaja barang yang boleh dijual) di tong-tong sampah untuk mencari wang.
"Yang paling sedih ada anak-anak jalanan seawal usia 13 tahun di sekitar Jalan Bukit Bintang sudah menjadi macai iaitu budak suruhan kepada bapa ayam atau pengedar dadah. Ada juga remaja perempuan yang menjadi macai.
"Macai ini juga akan menjadi mangsa buli Otai iaitu mereka yang sudah duduk lama di kawasan berkenaan dan kemudian menjadi pengedar dadah atau bapa ayam. Otai ini bermula sebagai Macai dan kebanyakannya orang Melayu. Ada juga yang berasal dari Sabah dan Sarawak," jelas Arfidah.
Beliau berkata ada anak jalanan (lelaki) yang menjadi 'anak ikan' iaitu anak didik pondan atau 'mak nyah' dan mereka ialah anak pekerja seks yang terbiar dan menjadi rapat dengan pondan yang tinggal berhampiran.
"Pondan yang sudah tua akan mengumpan anak ikan ini yang biasanya mempunyai wajah yang tampan dengan wang ringgit. Kemudian, budak ini akan disolek menjadi perempuan dan disuruh melacur. Pondan tadi akan mengambil sebahagian wang anak ikannya untuk membayar sewa bilik dan untuk perbelanjaan lain," kata Arfidah.
No comments:
Post a Comment